IBLIS, SYAITAN DAN JIN
Jin , iblis dan syaitan adalah antara makhluk ciptaan Allah selain malaikat dan manusia. Menurut Al-Quran, jin dicipta sebelum manusia (15, Al Hijr:26-27)
" dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya."
"dan jin pula, Kami jadikan Dia sebelum itu, dari angin api Yang panasnya menyerap ke liang bulu roma."
Syaitan
Dari segi definisi syaitan yang boleh diguna pakai dan disepakati ulama ialah:
“Semua yang membangkang (ingkar) baik jin, manusia mahu pun binatang/kuman dinamakan syaitan”. Dari definisi ini dapatlah dikatakan bahawa pelaku sesuatu yang buruk atau sesuatu yang tercela dari sisi Islam adalah syaitan sama ada manusia atau jin (atau juga binatang / kuman).
Jin
Nama jin diambil sempena asal kejadiannya yang tersembunyi daripada mata manusia, iaitu asal dari kata kerja “janna” yang bermaksud tertutup, terselindung dan tersembunyi.
Jin tergolong dalam dua golongan , iaitu jin beriman dan jin kafir berdasarkan Al-Quran Surah Al-Jin
(Q72:1-4; 14-15)
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, Bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran Yang Aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya Kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) Yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
`Kitab Yang memberi panduan ke jalan Yang betul, lalu Kami beriman kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk Dengan Tuhan kami.
`Dan (ketahuilah Wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.
`Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) Bahawa sesungguhnya: (ketua) Yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata Yang melampaui kebenaran;
`Dan Bahawa Sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan Yang berugama Islam, dan ada pula golongan Yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan Yang benar; maka sesiapa Yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan Yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan Yang benar,
` adapun orang-orang Yang menyeleweng dari jalan Yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka jahannam. '
Termasuk dalam golongan jin kafir ialah nama-nama seperti Ifrit, Iblis dan Qarin.
Jin adalah makhluk halus yang diciptakan Allah dari api. Jin yang membangkang dan ingkar serta mengajak kepada kederhakaan kepada Allah adalah satu jenis syaitan. Manusia yang derhaka dan mengajak kepada kederhakaan juga adalah syaitan. Jadi syaitan tidaklah semestinya hanya diwakili oleh golongan jin tetapi ia juga diwakili oleh manusia.
Iblis
Iblis berasal daripada golongan jin seperti disebut Allah dalam Al-Quran Al Kahfi (18:50).
" dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang mereka pilih itu.
Iblis berkata: berilah tempoh kepadaKu hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)".
Allah berfirman: "Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh (ke suatu masa Yang tertentu)".
Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus;
"Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".
Allah berfirman: "Keluarlah Engkau dari syurga sebagai makhluk Yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka Yang menurutmu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka jahanam Dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;
Dari keterangan Al Quran Al A’raaf:14-18 di atas, dapat ditafsirkan bahawa Allah telah memberi izin kepada iblis untuk panjang umurnya (hingga beribu tahun ?) untuk memainkan peranannya iaitu tidak lain dan tidak bukan untuk menyesatkan manusia dan jin lainnya.
Nabi SAW bersabda: “sesungguhnya syaitan (dari golongan jin) itu berjalan dalam diri manusia mengikuti perjalanan darah, maka dari itu aku khuatir bahawa syaitan akan melemparkan sesuatu kejahatan dalam hati kamu. (HR. Bukahri Muslim”).
Syaitan jin termasuk makhluk ghaib / halus yang dapat menyelinap ke segala tempat dalam keadaan bagaimanapun. Dia dapat masuk ke dalam tubuh manusia mengikuti aliran darah sehingga ia dapat berleluasa menggoda dan menyebarkan kerosakan kepada manusia sebagaimana isyarat hadis di atas.
Dorongan kejahatan dalam diri kita boleh datang dari nafsu dan juga dari dorongan syaitan atau iblis. Sebenarnya adalah mudah untuk mengenali hasil tugasan mereka melalui tusukan ke hati ini. Namun yang lebih penting selepas ini adalah untuk mengenalpasti syaitan di kalangan manusia yang terus bertugas untuk menjerumuskan manusia ke neraka. Seorang manusia sukar menjadi jahat apabila terdedah kepada syaitan jin dan iblis semata-mata tetapi seseorang manusia amat mudah terjerumus kepada kejahatan hasil dari pengaruh syaitan manusia yang menjadi sahabatnya.
Ingatlah bahawa setiap kali kita melakukan kejahatan ingkar perintah Allah, Allah akan menghadiahkan syaitan dari golongan jin bernama Qarin yang menjadi satu lagi teman setia yang tidak lekang yang akan terus menggoda dan menjerumuskan pelaku ke neraka seperti ayat Al Quran Az Zukhruf 43:36
"dan sesiapa Yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran Yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu Temannya Yang tidak renggang daripadanya."
No comments:
Post a Comment